Sunday, 9 August 2015

GEMPAR - 2 PELAJAR DARJAH 5 MELAHIRKAN BAYI

Astaghfirullah al-adziimmm… 
Dua berita yang serupa, satu di Bahau dan satu di Kuantan telah menggemparkan masyarakat. Dua kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melakukan hubungan seks sehingga melahirkan anak.

Ini tentunya bukan kes terpencil. Ia hanya pemberitaan yang jarang-jarang kita selaku orang biasa yang tidak berada dalam usaha mengkaji dan mengurus gejala ini dapat tahu. Ini hanya satu bukti bahawa apa yang selalu kami artikelkan tentang gejala seks di usia muda ini adalah benar. Tidak kiralah samada secara suka mahupun terpaksa.

Jika anda rapat dengan pihak polis, doktor dan bidan, guru-guru besar dan guru disiplin, penjaga rumah pemulihan akhlak, sekolah gadis hamil, ketua kampung dan imam, maka anda akan dapati kes begini sudah terlalu membusung dalam masyarakat kita.

Dr Zainur Rashid Zainuddin yang mengulas kes di Bahau dalam status FB nya mempertikaikan persoalan bahawa anak itu tidak sedar ia mengandung. Remaja berumur 11 tahun itu mengadu sakit perut dan 'terkejut' apabila diberitahu bahawa dia mengandung dan mahu bersalin.

“Ini bukan kes pertama dan kami yang berkhidmat di klinik dan hospital telah, sedang dan akan terus diamanahkan untuk mengendalikan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin. Masyarakat kita sudah semakin tenat. Saya bermohon agar semua pihak termasuk ahli DUN dan Parlimen supaya ambil serius terhadap permasalahan sosial masyarakat yang semakin BERNANAH”, katanya.

Seorang Doktor sakit Puan Hospital Kerajaan yang rapat dengan kami sering juga kongsikan hal yang sama sejak sekian lama.

Seorang pengguna media sosial yang juga guru kaunseling berkata, "Saya guru kaunseling di sekolah. Kes remaja berzina / melakukan seks adalah seawal 10 tahun. Ketika di sekolah menengah mereka menjadi remaja ketagih.. merosak dan dirosakkan anak orang lain pula... Dan isu gejala sosial ketagihan seks ini bagai barah tahap 4 Malaysia. Tolong lakukan sesuatu.Selamatkan generasi kita.."

Pendedahan oleh Tuan Haji Abdul Ghani Haron, seorang pesara Guru Besar yang menjadi rakan FB kepada Pengetua kami Dr Hj Masjuki ada kaitannya.
Itu juga antara sebab mengapa rakyat terlalu marah dengan kenyataan tidak masuk akal oleh Azalina Osman Said.

KESIMPULAN
Kami sering katakan bahawa majoriti kes buang bayi adalah dari gadis berusia sekitar 13 -16 tahun. Sekali sekala ada kes di usia 11-12 seperti ini bagi anak yang agak subur tumbesarannya. Sebenarnya itu bukan bermakna anak itu baru melakukan hubungan seks di usia itu.

Hasil kajian kami jelas menunjukkan bahawa terlalu banyak kes zina telah berlaku sejak sekolah rendah lagi. Banyak juga kes yang bermula sejak tadika, khususnya sesama sepupu dan saudara mara tanpa kita ketahui.

Kami pernah terjumpa gambar lukisan tangan "alat kelamin lelaki dewasa" dan lukisan aksi senggama dilukis oleh seorang pelajar darjah 3 di buku anak kami. Apabila ditanya, anak kami ceritakan apa yang diterangkan oleh rakannya itu mengenai gambar yang dilukisnya. Subhanallah, beliau tahu dan mampu menceritakannya seperti orang dewasa. Itu semua membuat kami sentap tidak terkira.

Banyak juga kes ketagihan aksi seksual anak tadika yang sudah menjadi amalan di rumah masing-masing. Tanpa kita tahu anak-anak tadika kita sudah 'mencuba' bersama adik beradiknya. Kes sebegini kami jumpa terjadi pada anak-anak sebelum diserahkan ke RPWP.

Kemewahan yang diberikan oleh ibubapa kepada anak lelaki juga turut membuka ruang. Ketagihan seks mereka sudah sampai ke tahap membayar pelacur ketika usia 13 tahun apabila tidak berjaya mendapat perempuan yang 'percuma'.

Itu antara sebab mengapa kami segera keluarkan anak-anak kami dari sekolah biasa yang 
mana guru-guru pun sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu mencegahnya.

Kelahiran hanya berlaku sebaik sahaja organ reproduktif anak itu berfungsi, iaitu setelah mereka datang haid. Tanpa hanya merujuk kepada 2 kes yang dilapurkan ini, zina sebenarnya telah berlaku jauh lebih awal sebelum itu.

Kami menyeru ibu bapa agar SEGERA BANGKIT memperbetulkan tadbir urus rumahtangga, khususnya dalam hal mencegah gejala zina sejak anak berada di tadika lagi.

Dalam kes ini, jika anak ini melahirkan ketika darjah 5, bilakah anda rasa hubungan seks itu sudah bermula? Sama-samalah kita fikirkan.

Sudah tiada gunanya lagi kita meraung menuding jari kepada pihak sana dan sini. Jika kita tidak boleh ubah pihak tertentu untuk menyelamatkan anak-anak kita, maka mari kita ubah dengan cara kita pula.

Kes sebegini seharusnya mampu membuatkan kita mengaku kalah pada kehebatan aturan Allah. Segeralah berserah diri untuk buat ISLAH. Kini sedarlah kita mengapa mendekati zina sahaja sudah terlalu dilarang Allah…
WARGA PRIHATIN
P/S: Ini adalah ulasan umum dan tidak semestinya merujuk kepada 2 kes di bawah ini. Tiada kaitan dengan "mengaibkan" atau seumpamanya. Ini sudah soal sakit... bukan lagi cerita aib. Kita tiada masa lagi untuk merewang dan terlalu defensif sehingga memikirkan soal aib menyentuh gejala ini.
Menurut Akta Kanak-Kanak dalam Undang-undang Malaysia, jika budak perempuan masih di bawah umur, walau pun dia rela dan tersua-sua, ia tetap di klasifikasikan sebagai ROGOL.
* * * * *
BAHAU : Budak perempuan berusia 11 tahun melahirkan bayi lelaki di klinik swasta di Bahau, 8 pagi tadi.
Sumber berkata, budak perempuan itu tinggal bersama neneknya mengadu sakit perut sebelum dibawa ke klinik di Bahau.
"Sebaik tiba, doktor memakluman budak itu hendak bersalin. Pada masa sama, air ketubannya sudah pecah.
"Belum sempat dibawa ke Hospital Jempol, dia melahirkan bayi lelaki dalam keadaan songsang.
"Bayi seberat lebih satu kilogram dilahirkan dalam keadaan sihat dan dua beranak itu dibawa ke Hospital Jempol sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Ampuan Najihah Kuala Pilah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
"Tiada tangkapan dibuat setakat ini, tetapi kita sudah mengenal pasti TEMAN LELAKI budak perempuan itu," katanya. - HARIAN METRO

* * * * *
KUANTAN : Polis BONGKAR Cerita Sebenar Hubungan TERLARANG Murid 11 Tahun Dengan Lelaki 22 Tahun Sehingga Melahirkan Anak...
Kanak-kanak terbabit selamat melahirkan bayi lelaki (tak cukup bulan) seberat 1.9 kilogram di Pusat Bersalin Risiko Rendah, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, awal pagi Selasa.
Hasil siasatan polis mendapati, pasangan muda itu pernah terlanjur ketika berada di sebuah rumah kosong di Panching, bagaimanapun alamat lokasinya tidak diketahui.
Susulan itu, polis menahan TEMAN LELAKI kanak-kanak itu yang berada di perkarangan HTTA pada jam 5.10 petang pada hari yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mer0gol.
Difahamkan, gadis yang berusia 11 tahun yang tercicir dalam persekolahan itu, dihantar oleh seorang wanita yang dipercayai ibu kepada teman lelakinya ke HTAA kerana sakit hendak bersalin.
Setelah selamat melahirkan bayi, pihak hospital mendapati gadis itu masih di bawah umur dan belum berkahwin. Ekoran itu, pihak hospital tampil membuat laporan polis.


Panduan untuk membantu Jauhi Zina
  • Menuntut Ilmu
      Tuntutlah ilmu supaya datangya kesedaran tentang haramnya berzina dan keburukan daripada apa yang dilakukan.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.
  • Amalkan Ilmu
Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.
  • Dekati Orang yang Berilmu
Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.
  • Berusaha Menjauhi Dosa
Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.
  • Menolak segala jalan yang boleh mendekatkan kepada zina
Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;

* Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
* Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
* Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah.

Rasulullah SAW menegaskan;
"Pandangan itu merupakan seutas panah beracun daripada panahan iblis. Barangsiapa yang menjaga atau mengawalnya, nescaya Allah akan mengurniakan jiwanya dalam kemanisan ibadat yang akan dirasainya sehingga hari kiamat." [HR: Imam Ahmad dan At-Tabrani]
Kata Pujangga Islam;
"Sesiapa yang menjaga pandangannya nescaya Allah akan menjaga jiwanya."
*Hindari tempat-tempat yang menimbulkan fitnah seperti tempat yang menggalakkan pergaulan bebas dan aktiviti maksiat.
  • Mengamalkan zikir 
Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa
  • Bergaul dengan orang yang baik-baik.
Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.
  • Sibukkan diri melakukan kebajikan dan membuat ibadah.
Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.
  • Amalkan sunnah Rasulullah SAW.
Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.

Wallahu 'alam.

*sumber rujukan: ANIS; Dr. Hj. Nik Yusri Musa.

0 comments:

Post a Comment