Tuesday, 19 September 2017

MENUMPANG KASIH VS. BERBAHAGI KASIH

MENUMPANG KASIH VS. BERBAHAGI KASIH
**********************************************
Ungkapan "menumpang kasih" sering kali kita dengar diucapkan oleh seseorang wanita dipermulaan beliau ingin memanangi hati seorang lelaki yang juga merupakan suami kepada wanita yang lain. Ini adalah ayat penambat yang barang kali paling lunak untuk diucapkan bagi membolehkan si lelaki tadi dengan pantas menerima beliau untuk dimadukan dengan isteri yang sedia ada. 

Ia menggambarkan bahawa beliau hanya mahukan suatu ruang kecil di lubuk hati suami barunya itu dan sebagai suatu akujanji informal bahawa kebersamaan suaminya dengan madunya itu tetap tidak akan diganggu gugat. Penyatuan hati ini akan lebih mudah berlaku jika si lelakilah yang merupakan Die Hard Fan kepada beliau. Itu akan menjadikan beliau kelihatan tidak begitu terdesak untuk memiliki suami yang baru dalam hidupnya walaupun terpaksa berkongsi kasih dengan yang lain.


Namun apa yang dirancang dan diinginkan di peringkat permulaan tidak semestinya akan menjadi seperti yang diharapkan. Apabila kasih sudah berbelit dan ditambah pula hayalan fantasi berbulan madu buat ke sekian kalinya, akujanji yang dilihat seakan-akan noble niatnya tadi boleh sahaja berubah-ubah mengikut keadaan semasa. 

Tambahan pula memulakan perkahwinan atas dasar menumpang kasih ini seringkali melangkaui beberapa perkara asas yang sewajarnya perlu dilakukan sekiranya pasangan tersebut benar-benar ikhlas untuk berpoligami.

Amalan nikah senyap; jika diketahui oleh isteri pertama pun kebiasaanya tidaklah dibincangkan dengan teratur dan mendalam, menjadikan suasana hubungan yang tercipta di antara tiga penjuru ini kebiasaannya bukanlah suatu permulaan platform yang baik untuk cuba mencapai keharmonian dilaluan perjalanan rumahtangga poligami itu nanti. 

Akan sering saja timbul masalah di sana sini sehingga retaknya hati akan semakin melebar dan rumahtangga itu jika pun ianya survive, maka ia hanya akan berlangsung secara nafsi-nafsi sahaja. Tiada maknanya erti sebuah poligami jika ianya dilalui dengan suasana yang sebegini. Imej Islam jugalah yang akhirnya tercalar dan kitalah penyumbang dan pemain peranan yang menghodohkan plot cerita tersebut.

Namun apakan daya, takkan ada orang yang sanggup berfikir hingga sejauh itu apabila nafsu sudah beraja di hati. Ungkapan "lebih baik nikah dari maksiat berleluasa" seringkali dijadikan alasan jitu untuk membenarkan tindakan penyatuan tersebut. Maka di manakah lagi ruang penyatuan hati walaupun di pertengahannya nanti ada keinginan untuk menggapai harmoni.

Berbanding pula dengan konsep "berbahagi kasih"; untuk berfikir ke arahnya sahaja pun sudah menuntut suatu kekuatan dan kefahaman dari yang menginginkannya. Mereka, yakni ketiga-tiga pihak yang terlibat tidak mempunyai pilihan selain dari mencanaikan sehabis lumat terlebih dahulu permasalahan ini sebelum berani melangkah untuk mempraktikkannya di alam nyata. 

Berbahagi merupakan suatu pecahan sama rata yang menuntut keadilan orang yang membahagikannya.
Ditangannyalah dipengang erat 'alat membelah dua' tersebut. Ada unsur berhati-hati di situ sebelum belahan dilakukan kerana bimbang beliau tidak berlaku adil semasa membelahnya nanti. Beliau pasti ada method tersendiri untuk membuat ukuran tersebut supaya keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin.

Maka, segala elemen inilah yang akhirnya membentuk suatu perasaan amanah yang harus dipikul dan dua lagi pihak yang memerhatikan dengan penuh suspend tadi akhirnya akan akur dengan berhemahnya si pembelah dan berlakulah rasa 'tunduk" terhadap kebijaksanaan beliau. Maka disitulah sebenarnya terbuka ruang untuk berlakunya kesepakatan untuk menuju jannah di dalam melayari bahtera unik ini tadi.

Itulah hakikatnya yang sering dirasa dan dilalui oleh mereka yang sering kita lihat sebagai bahagia dan harmonisnya rumahtangga poligami yang mereka lalui. Iman sememangnya memainkan peranan utama tetapi tanpa adanya kebijaksanaan dan hati nurani yang inginkan sesuatu yang lebih baik dari apa yang sepatutnya diharapkan terjadi maka penyatuan seperti ini pastinya sesuatu yang dilihat mustahil untuk dicapai. 

Itulah apa yang disifatkan sebagai "Berhikmah di dalam berpoligami".
Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment